Blog ini mempamerkan maklumat kesihatan berkenaan rawatan terkini masalah-masalah sakitpuan, ketidaksuburan, endometriosis, PCOS dan lain-lain. Ia khas buat wanita yang mengalami gangguan kesihatan ataupun yang inginkan penerangan lanjut berkenaan penyakit wanita.

Monday, May 14, 2012

KES BULAN MEI

Susah Mengandung
Puan SI, seorang perempuan Melayu berumur 32 tahun yang telah berkahwin selama 4 tahun mengalami masalah susah mengandung. Dia telah membuat penelitian dan rawatan di hospital kerajaan tanpa jaya sebelum ini. Beliau tidak pernah mengalami apa-apa masalah lain dan mempunyai perjalanan haid yang sempurna tanpa sakit senggugut. Air mani suaminya didapati normal. Pemeriksaan fizikal tidak menampilkan keganjilan, cuma pesakit ini sedikit obese. Scan ultrasound menunjukkan rahim dan persekitarannya yang normal. 

Gambar ini mempamerkan sebeuah rahim yang mempunyai banyak saluran darah halus dipermukaannya yang digelar "Vascular Patterns" seakan ia meradang. Kedua-dua saluran Falope tersumbat yang disebabkan oleh benjolan hasil dari penyakit endometriosis. Ovari-ovari normal kelihatan warna putih.

Puan SI telah menjalani pembedahan laparoskopi di mana nyata kelihatan sebuah rahim yang meradang (lihat gambar) dan saluran Falope yang tersumbat kedua belah. Ini disebabkan oleh penyakit endometriosis dan rawatan hormon kini sedang dilaksanakan untuk mengatasi masalahnya.
Pelajaran yang boleh didapati dari kes ini ialah penyakit endometriosis kerap kali wujud tanpa tanda dan simptom utamanya mungkin hanya kesukaran mengandung. Tiada keganjilan yang kelihatan menerusi penelitian biasa, dan diagnosa hanya dapat dilakukan melalui pembedahan laparoskopi. Oleh itu, seseorang pesakit yang mengalami kesukaran mengandung tanpa sebab yang nyata berkemungkinan mengalami penyakit endometriosis.